KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam teknologi dan inovasi, dengan pencapaian pantas itu didorong oleh pelaburan strategik dan visi yang jelas dalam pembangunan mampan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, pencapaian itu berupaya menangani cabaran semasa dengan segera, selain mewujudkan peluang jangka panjang untuk pertumbuhan ekonomi dan penjagaan alam sekitar.
"Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjadi penggerak dalam membina ekosistem inovasi yang mampan dan berdaya tahan.
"Dasar Sains, Teknologi, Inovasi (DSTIN) 2021-2030 dan Rangka Kerja Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MySTIE), bersama-sama dengan pelbagai pelan hala tuju teknologi lain, memperkasakan inovator tempatan dan menarik pelaburan.
"Inisiatif ini meningkatkan kedudukan teknologi Malaysia sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai peneraju global," katanya menyampaikan ucaptama merasmikan Sidang Kemuncak Global I-Nation2024 di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Beliau berkata, bagi memangkin ekosistem startup tempatan, inisiatif MYStartup juga ditubuhkan di bawah Pelan Halatuju Ekosistem Startup Malaysia (Super) 2021-2030, yang turut diterajui MOSTI.
"Inisiatif ini sudah mencapai kemajuan yang ketara, dengan jumlah modal yang diperoleh menerusi 453 tawaran diterima dari 2019 hingga tahun ini berjumlah AS$1.43 bilion (RM6.38 bilion)," katanya.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, penganjuran sidang kemuncak seperti ini, sebahagian aspirasi Malaysia untuk meningkatkan pengaruhnya dalam ASEAN dan global, selaras kerangka antarabangsa seperti Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB dan agenda ASEAN untuk 2025.
"Ketika Malaysia bersedia untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, kami komited untuk memajukan agenda rantau ini menerusi kepimpinan dalam teknologi, inovasi dan keselamatan tenaga.
"Tumpuan kami termasuk meningkatkan kerjasama serantau untuk menangani cabaran dan peluang yang dikongsi bersama, terutamanya dalam mencapai sasaran ASEAN iaitu 23 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga rantau ini menjelang 2050," katanya.
Inisiatif seperti Grid Kuasa ASEAN, kata beliau berupaya menggalakkan perdagangan elektrik rentas sempadan dan integrasi tenaga boleh diperbaharui, sekali gus menunjukkan komitmen Malaysia terhadap kemampanan serantau.
"Inklusiviti dan perkongsian kekal sebagai pusat untuk membina daya tahan di seluruh ASEAN. Dengan memupuk kerjasama di kalangan negara anggota, kami berhasrat untuk mewujudkan komuniti yang padu dan responsif yang mampu menangani cabaran serantau dan global dengan berkesan," katanya.
Sidang kemuncak itu diadakan dalam usaha memanfaatkan kerjasama global dan tempatan untuk mewujudkan laluan bagi inovator Malaysia berhubung dengan ekosistem antarabangsa.
Berlangsung selama tiga hari, sidang kemuncak itu akan mempamerkan perkembangan terkini dan perbincangan dalam enam industri utama yang kritikal kepada visi Malaysia iaitu Teknologi 4IR, Teknologi Autonomi, Ketersambungan 5G, Sains Hayat, Teknologi Kesihatan dan AgriTech serta Kelestarian.